20 December 2014

myHarapan: Alternatif belia berwawasan


Bonding with sisters
Congrats Kak Ema
Survive your study :)


Saya menonton teater ini asalnya atas ajakan kakak saya kerana anak saudaranya bertanggungjawab dalam penjualan tiket teater ini di samping menyokong projek amal myHarapan. 
Melalui teater ini juga saya mengenali myHarapan iaitu salah satu penubuhan NGO atau nama penuhnya Youth Trust Foundation yang memperkasakan belia Malaysia dengan menyokong projek belia yang menyumbang kepada sosioekonomi Malaysia dengan menyediakan platform dan peluang kepada belia. myHarapan ditubuhkan sebagai salah satu alternatif kepada agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan. myHarapan menyediakan latihan dan bimbingan serta memberi kemahiran yang betul untuk memulakan perniagaan sosial, ia juga menyediakan dana untuk individu. 

Pementasan teater yang saya tonton hari ini dipersembahkan oleh Revolution Stage dengan kerjasama myHarapan.  Mereka mempertaruhkan bakat 15 belia yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Belia ini mengikuti bengkel asas lakonan kendalian Revolution Stage  dibawah pengurusan myHarapan. Melalui projek teater ini, myHarapan mengetengahkan bakat muda khususnya daripada komuniti PPR. Teater ini membuktikan remaja daripada komuniti PPR juga mampu meraih kecemerlangan jika mereka diberi platform yang bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya platform kreatif seperti seni persembahan. 

Teater ini bermatlamat mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat awam di negara ini mengenai masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan belia dari komuniti ini. Oh ye masalah belia PPR merupakan antara masalah yang didekati oleh saya selaku guru kaunseling. Menjadi guru kaunseling di sebuah sekolah yang majoriti pelajar adalah dari kawasan PPR Cheras, maka tidak hairanlah sepanjang isu teater ini dipersembahkan, masalah - masalah sosial yang dipersembahkan berjaya mengundang air mata saya. Persembahan yang begitu hidup mengingatkan saya kepada kes -kes klien yang saya kendalikan di sekolah dan seumpama senario biasa yang berlaku di PPR kerana berjaya dihidupkan umpama cerita benar yang sering berkisar dengan masalah pelajar saya. 

Sebelum pulang, saya sempat berbual dengan staf myHarapan mengenai kerjasama yang boleh saya jalinkan dengan mereka untuk projek belia pelajar saya yang kebanyakannya menghuni di PPR. 
 

Telegram Channel