9 January 2015

Misi Sukarelawan Pascabanjir ke Laloh, Kuala Krai

Gua Musang - Kuala Krai - Gua Musang
Allahuakbar


Selesai sahaja misi di SK Limau Kasturi, kami ke Laloh Kuala Krai, Kelantan iaitu antara kampung yang terjejas dengan banjir lebih kurang sejam lebih dari SK Limau Kasturi. Kami ke sana dengan pakaian yang masih kotor dan berselut dan kami menggunakan beg plastik hitam untuk menutup tempat duduk kami yang bersih di dalam bas. Sepanjang perjalanan kelihatan keadaan kampung yang terjejas. Tiba di masjid di sini yang dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir, kelihatan berpuluh puluh misi bantuan yang lain datang hingga mengakibatkan kesesakan jalan raya di situ. 

Menggunakan air kolah yang datang dari sumber air hujan untuk mengambil wuduk, kami mendekati longgokan besar baju baju kurung yang diderma oleh orang awam. Memandangkan keadaan kami yang sangat kotor, kami meminta untuk meminjam baju tersebut untuk digunakan bagi solat jamak. Dalam keadaan jalan raya yang sesak, tidak mungkin kami sempat jamak zohor dan asar di asrama kerana pasti tiba pada waktu Maghrib. Agak bersalah juga dan dilemma meminta izin dari penjaga di situ mengambil baju kurung tersebut. Selepas selesai bersolat, penjaga di masjid itu meminta kami mengambil apa sahaja baju yang ada di situ kerana banyak sangat..tetapi kami menolak dengan baik kerana baju yang diberi untuk bersolat tadi lebih memadai.
Keluar sahaja dari masjid, memang menjadi bahan ahli team yang lain yang terkejut dengan pakaian kami...satu pengalaman yang bermakna. 

Kami masuk ke lorong lorong kampung dan sempat berbual dengan beberapa penghuni di situ. pemandangan rumah yang beralih tapak ke tapak orang lain antara pemandangan yang mengundang simpati saya kepada penghuninya. Ada penghuni yang berlindung di tempat lain. Ini kerana kerja pembersihan tidak dapat dijalankan kerana bekalan air masih terputus. Barang barang dari rumah orang lain juga bersepah sana sini. Beberapa keluarga yang rumah mereka hancur 100 peratus, duduk di kaki lima kedai dan masih samar arah tujuan. Ada keluarga yang menumpang di rumah saudara mara. Ada juga yang masih berlindung di tapak rumah lama memadai dengan rangka rumah yang mempunyai tapak sahaja. Ada keluarga yang menadah air bukit untuk sumber air keluarga. Kelihatan baju bersepah sana sini kerana tidak dapat dibersihkan terutama selut yang tebal. Sukarelawan yang memberikan bantuan pakaian akan melonggokkan pakaian di sesuatu kawasan dan orang ramai hanya perlu memilih. Bagi yang tidak berumah atau kerosakan yang teruk, mereka mengambil sekadar untuk keperluan asas kerana tiada tempat untuk disimpan manakala bagi penghuni lain ada yang tidak pulang ke rumah lagi. 

Rupa-rupanya kebanyakan keluarga, hari ini baru keluar dari masjid dan kembali ke rumah memandangkan hari persekolahan tiba tidak lama lagi terutama bagi penghuni yang masih berumah walaupun rumah rosak 70 peratus. Terdapat lopak - lopak air yang belum surut sepenuhnya. Misi kami disini menyumbangkan stok bekalan air mineral dan ubat ubatan. Hampir sejam di sini dan menyaksikan sendiri kemusnahan di sini dan keadaan yang sukar bagi penduduk menginsafkan mata yang memandang.

Perjalanan pulang ke asrama, hujan masih turun dan kelihatan air yang semakin naik menyebabkan ada kawasan di Kuala Krai menunjukkan amaran banjir di tahap jingga semula. Beberapa kawasan banjir semula dan jalan balik nanti di Raub Pahang juga banjir dan kenderaan kecil tidak dapat melaluinya. Semoga dipermudahkan urusan kami balik ke KL nanti.
 

Telegram Channel