8 February 2015

Syafakillah Insyirah

La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin


Hari Khamis lepas, Rozi ke sekolah sesi pagi. Memandangkan sejak dia berulang alik ke hospital, sekolah memberikan kelonggaran untuk Rozi masuk sama ada sesi pagi atau petang mengikut kemampuannya. Tidak ada masalah bagi saya selaku ketua kaunselor, kerana saya sentiasa berada di sekolah seawal 6.45 pagi hingga 5 petang. Jadi saya akan cover apa sahaja program jika dijalankan di sesi petang membantu partner sesi petang pula dan mengambil alih tugas tugas khas part Rozi sementara waktu. Yang penting pentadbir memberikan kelonggaran kepadanya..alhamdulilllah mendapat pentadbir yang prihatin. 

Rozi memberikan bayangan kepada saya yang anak dia akan keluar wad pada hari Khamis itu dan seronok hingga ingin menempah kek tanda terima kasih kepada staf HKL kerana memberikan kerjasama dan layanan yang baik kepada anaknya. Dia sangat positif hasil ujian tibi tulang akan mengesahkan anaknya tibi tulang. Ini kerana sewaktu ujian biopsi ingin dijalankan, pakar tulang dan pakar tibi berselisih pendapat. Pakar tibi tidak puas hati dengan keputusan dan ingin membuat biopsi untuk pengesahan manakala pakar tulang pula tidak mahu melengahkan lagi dan ingin memakaikan sokongan simen dibadan anaknya kerana kuman yang menyerang telah menjejaskan tulang anaknya dan pakar tulang tidak mahu seperti kes sebelum ini hingga menyebabkan lumpuh kerana lewat memberikan rawatan. Setelah persetujuan dicapai, simen badan dipakaikan oleh pakar tulang sambil mengawasi tulangnya manakala pakar tibi memberikan ubat - ubat tibi tulang yang perlu dimakan setiap hari pada waktu yang tetap. 

Akhirnya pada pukul 10 lebih hari Khamis lepas, dia mendapat panggilan telefon dengan suara bergetar dia memaklumkan yang anaknya NEGATIF TIBI TULANG dan ini bermakna ada penyakit lain dan perlu biopsi....saya hanya mampu memeluknya dan menenangkannya. Kali ini saya lebih tenang. Mungkin pada kali pertama dulu dia agak terkejut dengan keputusan doktor begitu juga saya. Kali ini saya memberikan kata -kata semangat dan sokongan moral. Dia terus balik ke hospital untuk menguruskan anaknya keluar wad dan perlu masuk semula hari Isnin 9 Februari 2015. Saya cuba menghubunginya pada pukul 5.00 petang, tetapi Rozi tidak menjawab mungkin masih di wad fikir saya. Saya ingin sekali ke rumah Rozi untuk berjumpa anaknya..memandangkan Nana juga tidak sabar untuk berjumpa Insyirah sejak minggu lepas. 

Hanya pada pukul 8.00 malam Rozi membalas mesej saya yang anaknya sudah berada di rumah, saya terus bersiap ke rumahnya dan membawa Farhan bersama. Walaupun Nana berkeras untuk mengikut tetapi memandangkan kerja sekolahnya yang banyak, saya memujuknya untuk datang hari minggu nanti iaitu hari ini. Saya tiba di rumah Rozi hampir 8,45 malam..sebak tengok Insyirah. Apalagi Rozi...saya berjaya untuk mengawal air mata. Emosi Rozi terganggu walau di luar nampak tenang. Ini kerana pada masa yang sama, dia perlu membawa anak lelakinya mendapatkan rawatan Xray esok sebab kahak berdarah. Oleh kerana itu penting untuk saya berjumpa juga dengan Rozi malam itu bagi memberikan sokongan moral kepadanya. Alhamdulillah hari Jumaat itu, keputusan Xray anaknya tidak menunjukkan penyakit berbahaya. 

Hari ini saya berkunjung ke rumah Rozi membawa Nana. Membawakan Play Dooh seperti yang dimintanya Khamis lepas daripada Farhan, saya mengotakan janji itu. Rupanya dia menunggu saya dari pagi hingga Rozi terpaksa memujuknya. Seronok tengok dia gembira dan duduk bermain. Sempat menyuapkan kek strawbery bersama buah strawberry yang dimintanya hingga habis satu slice. Sempat adik saya Katy ke Seret Recipe untuk membelikan kek itu sebelum ke rumah Rozi dan datang bersama mak saya ke rumah Rozi bersama-sama saya. Hubungan saya dengan Rozi memang rapat dan dia pernah ke kampung saya dan tidur di kampung saya dan mengenali semua adik beradik saya. Tidak hairanlah apabila emak saya tidak banyak bercakap  kerana begitu sebak melihat Insyirah. 

Esok Insyirah akan melalui proses biopsy..semoga semuanya berjalan lancar dan budak comel ini dapat menanggung kesakitan dan ibu bapanya juga diberikan ketabahan menjaganya.





 

Telegram Channel