12 April 2015

Cakna April:Mengharung Ujian Yang Getir

Menziarahi ibu Lily pelajar PRS saya di HUKM. Lily ialah setiausaha PRS yang rajin dan suka tersenyum. Sangat positif hidupnya. Bulan Mac yang lalu ayahnya kemalangan jalan raya hingga tengkorak kepala kanan perlu dibuang. Masih koma hingga kini. Ayah terlantar di hospital Klang dan keluarganya berulang alik dari Cheras ke Klang. Sewaktu mendapat berita kemalangan itu, Lily terus menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai ayahnya. Selama beberapa hari saya memantaunya melalui pesanan mesej. Sehinggalah nombor telefonnya tidak lagi dapat dihubungi. Sejak itu kehadiran Lily ke sekolah tidak menentu. Kakaknya bersalin dan keluarga mereka diuji lagi dengan ibunya pula yang jatuh sakit dan perlu dibedah. Bapanya yang masih koma tapi agak stabil dipindahkan ke wad HUKM bagi memudahkan Saya agak risau apabila kawan kawannya mengatakan yang dia mungkin tidak bersekolah untuk bulan April. Tapi alhamdulillah dia datang ke sekolah dan saya dapat merasakan betapa tabahnya pelajar ini mengharung dugaan hebat. 

Unit Kebajikan sekolah mengutip sumbangan ikhlas untuk membantu keluarga ini pada Jumaat yang lalu. Saya dan Rozi membawa Lily ke hospital sewaktu solat Jumaat dan berjumpa ibunya yang masih ramah mesra bercerita. Ibunya seakan akan mengenali saya apabila Lily memperkenalkan saya sebagai Cikgu Aiza...maklumlah banyak aktiviti yg Lily terlibat bersama projek saya di sekolah. Mungkin ibunya dah terbiasa mendengar nama saya..Menyampaikan wang sumbangan dari pihak sekolah menyebabkan ibunya terharu di atas keprihatinan pihak sekolah. 

Kemudian kami melawat ke tingkat atas untuk melawat bapanya yang masih koma, sebak naluri keibuan saya apabila Lily memanggil manggil ayahnya. Saya cuba berinteraksi dan melihat kelopak matanya bergerak gerak setiap kali saya memanggil dan bercerita mengenai Lily yang kuat semangat. Saya tahu Lily sangat rapat dengan ayahnya dan dia sangat suka bercerita kepada saya apabila kami bersantai di bilik kaunseling atau ke mana mana mengenai ayahnya. Saya teringat mengenai projek perkahwinan Melayu sewaktu Lawatan pelajar Jepun ke sekolah, apabila kipas pengantin tidak dapat disediakan..ayahnya pula walaupun dah malam, yang bersusah payah merata rata hingga ke kawasan Jalan Petaling untuk mencari kipas pengantin. Oleh sebab semua kedai sewa peralatan pengantin dah tutup, ayahnya sangat kreatif mencipta kipas pengantin untuk Lily maklumlah Lily bertugas selaku pengapit pengantin. Melihat hasil kerja dan kesungguhan ayahnya, saya percaya hubungan rapat anak dan bapa ini sangat akrab. 

Saya sendiri tidak pasti bilakah ayahnya akan sedar dan tiada sesiapa pun boleh memberi jaminan itu. Saya berharap Lily sabar, redha walaupun saya tau musibah ini benar benar menggangu emosinya. Memandangkan tahun ini Lily akan mengambil SPM saya perlu memantau emosinya dan pencapaian akademiknya serta cuba yang terbaik memenuhi harapan ibunya yang risau terhadap Lily yang akan menduduki peperiksaan penting tersebut. Mohon doakan keluarga ini agar cepat sembuh dan dapat bersatu semula.

Selamat petang,
Waktu yang suram!

 

Telegram Channel